Aku Jual Oh! Media – Part 2

Sampai masa untuk sambung semula penceritaan bahagian 1 sebelum ni.

Bila Khai wujudkan Oh! Media sebagai sebuah syarikat pengiklanan, Alhamdulillah semua blog dan juga forum dapat bergerak dengan baik. Tapi bila semua blog ni makin naik dan zaman forum semakin jatuh, maka ketika itu dengan berat hati Khai pun menutup forum SCUKZ.COM buat selamanya dan berikan fokus pada semua blog-blog ini. Tapi masa tu ahli forum semua tetap terus support semua blog yang ada tu. Terima kasih banyak-banyak kalau ada antara korang ahli Scukz yang masih membaca blog ni.

Bila fokus dah diberikan pada blog-blog ni, maka bermulalah tahun yang amat-amat sibuk dengan event ke sana-sini. Event yang Oh! Media pergi masa tu semuanya berbayar. Khai akan reject mana-mana jemputan event yang nak kita buat coverage untuk filem atau produk mereka tapi tak mahu nak keluarkan bayaran. Masa ni juga Oh! Media siap buat kempen kesedaran untuk semua blogger agar demand bayaran dan jangan turun ke event secara percuma.

— Apa Jadi Lepas Tu?


Tahun demi tahun pun berlalu, akhirnya domain ohmedia.my yang sebelum ni digunakan untuk urusan rasmi (berita tentang syarikat), akhirnya Khai jadikan domain tersebut sebuah portal utama yang menggabungkan semua blog-blog yang lain di bawah satu bumbung. Sebab keputusan ni dibuat ketika itu adalah kerana 2 point berikut;

1. Bila ada banyak blog bukan sahaja sukar untuk kita manage semua, tapi ianya juga memecahkan traffic yang masuk. Masa tu bila client nak beriklan, mereka akan tanya apa blog yang paling tinggi traffic? Zaman tu memang ohartis.com paling top dan semua iklan memang menuju ke sana sahaja. Jadi nak elakkan traffic ke website kita ni pecah ke blog sana sini, sebab tu la semuanya digabungkan menjadi satu di bawah domain www.ohmedia.my (kekal sehingga kini).

2. Kos RM6,000 sebulan bukan kecil pada ketika itu. Jadi untuk menanggung kos server yang tinggi setiap bulan, Khai buat satu tindakan bijak apabila mengalihkan website ohmedia tu daripada self-hosted WordPress kepada Blogspot (which is percuma). Daripada kos setiap bulan mencecah RM6,000 selepas tu kos bulanan turun kepada RM15 sahaja (untuk Google Drive). Sehingga hari ini kalau korang masuk website ohmedia.my tu sebenarnya ianya masih menggunakan Blogspot sahaja. Sampai ke hari ni juga kalau orang tanya pasal hosting web Oh! Media then Khai jawab guna Blogspot, diorang macam mindfuck gitu tak percaya betapa genius’nya keputusan beralih dari kos RM6,000 kepada RM15 setiap bulan tu. Haha! Like a bawse!


Ketika itu juga, laman Facebook Oh! Media semakin aktif dan dikenali hingga menerima jutaan pengikut dalam masa yang sangat singkat. Pernah page kena padam oleh Facebook (masa tu dah ada 1 juta followers). Tak berputus asa terus buat pages baru (yang kekal sampai hari ni). Pages baru ni pun pernah juga kena hack sampai habis gambar peribadi didedahkan ke page tu tapi nasib dapat semula. Disebabkan kes ni la, Khai tak lagi upload gambar yang nampak muka atau apa sahaja gambar yang terlalu peribadi ke internet.

Dipendekkan cerita, website dan Facebook Pages Oh! Media ni menerima impak yang sangat dahsyat malah sampai ke hari ini, Facebook Oh! Media tu masih lagi dalam rank no. 1 bagi kategori jenama popular di Malaysia (menurut Social Bakers).

Oh! Media ni dari awal memang Khai sentiasa nak dia dipersembahkan sebagai sebuah branding. Kita taknak dia jadi macam page-page yang lain. Jumlah followers pun bukan jadi keutamaan lagi. Kerana tu banyak pages lain (yang sekarang ni mungkin lagi ramai followers dari Oh! Media) tak pernah kita kategorikan sebagai pesaing pun. Oh! Media buat urusan dia sendiri sahaja.

Khai secara peribadi tak pernah masuk ke mana-mana pages lain terutama yang buat perniagaan yang sama. Pesaing kita sebenarnya hanyalah diri kita sendiri. Melihat sejauh mana kemampuan diri kita, itulah yang paling awesome dalam hidup ni tanpa ada campur-tangan dari mana-mana pihak lain pun.



Ranking no.1 ni bertahan dah lebih 4 tahun (masa artikel ni ditulis). Apa yang berubah hanya brand-brand lain di bawah Oh! Media tu jer tapi Oh! Media terus mendominasi di tempat pertama. Biarpun jenama yang lain tu lebih popular, tapi nak buat macamana memang dari awal Oh! Media tu wujud dan dipersembahkan sebagai sebuah branding seperti mereka. Haha! Lebih menarik lagi, biasanya dari no.2 sampai no.10 tu mesti dari kalangan jenama yang pernah beriklan dengan Oh! Media juga.

Di tahap sekarang ni, petik apa sahaja jenama boleh kata itu mesti client yang ada dalam portfolio kami. Semua syarikat telko, syarikat insuran, syarikat panggung wayang, dan apa sahajalah tu semua client kami. Client yang masih beriklan atau pernah beriklan sampai sekarang.

— Tak Pernah Cari Client

Ini salah satu sikap yang Khai amalkan di dalam Oh! Media sehingga kini. Kita gunapakai sistem “like a bawse” yang mana kita takkan pernah cari client melainkan client yang datang cari Oh! Media dulu. Bila sistem macam ni digunapakai, maka Oh! Media ni tak pernah ada sebarang tekanan pun untuk “meet expectation” dari client atau tergedik-gedik nak minta projek. Haha.

Semua client Oh! Media adalah client yang datang sendiri untuk beriklan dan tak pernah pun Oh! Media offer atau cari sesiapa yang ingin beriklan. Itulah keunikan Oh! Media ni sendiri yang ramai tak tahu.

— Dipendekkan cerita…

Tahun 2017, Oh! Media terima tawaran dari sebuah syarikat besar dalam dunia digital (semua orang pun kenal kalau diberitahu) untuk dibeli. Tak sangka yer sebuah jenama yang dijalankan seorang diri tapi dilihat sangat besar masa tu oleh syarikat gergasi ni. Tapi sehingga saat itu, Khai menolak apa sahaja tawaran kerana merasakan masih mampu untuk meneruskan Oh! Media dalam kapasiti sendiri lagi. Pada masa tu juga, Oh! Media sedang giat membangunkan jenama cafe sendiri.

Tapi Koff & Kloud ni tak sempat nak bertahan lama kerana Khai tak mahu teruskan akibat ada dikalangan partner yang kaki mesin. Bukan setakat kaki mesin, malah taik judi habis duit bisnes digunakannya untuk berjudi macam duit sendiri. Sia-sia betul jadi manusia. Jadi pengurusan Oh! Media tak ambil masa yang lama untuk tarik diri sebelum memberi fokus kepada eSport pula dengan mewujudkan eSport Centre di Seremban. Maka lepas tu wujudlah Oh! Media Gaming (kini dikenali sebagai OMG ESPORT) yang beralamat di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan.

Tahun 2019 pun sampai dan ini mungkin tahun yang epic bila Khai juga ada terima tawaran untuk menjual Oh! Media kepada satu Kerabat Di-Raja ni. Kerabat mana tu korang anggap je la Rajakapor dari Negara Pasir Berdengung! Hahaha.

Dalam masa yang sama juga, Oh! Media turut terima satu tawaran oleh sebuah syarikat digital baru. Menarik tentang syarikat digital baru ni, ianya diketuai nama besar yang dah banyak track record dalam digital business ni. Kalau sebut nama-nama branding yang beliau pernah buat, korang mesti kenal punyalah.

Selepas berfikir panjang-panjang sampai tak cukup tidur, Khai sebagai pemilik tunggal kepada jenama Oh! Media ni memutuskan untuk melepaskan Oh! Media kepada tangan orang yang ada pengalaman lebih besar dalam dunia digital ni yang mana mereka dah biasa mengangkat pelbagai jenama ke peringkat tertinggi.

Berapa harga mereka nak beli Oh! Media, itu bukan menjadi perbualan awal sebaliknya ke mana arah tuju Oh! Media selepas ini yang nak kita kenal pasti agar Oh! Media tidak terlepas ke tangan pihak yang salah. Oh! Media mestilah berada di landasan yang betul di mana terus diterajui oleh insan yang turut berada di bidang yang sama juga masih boleh menawarkan harga pengiklanan yang sangat rendah kepada para peniaga kecil di Malaysia.

Maka, bulan Ramadhan 2019 bermulalah perjumpaan dan perbincangan untuk pertama kalinya di Starling Mall, Damansara. Kemudian disusuli dengan meeting dan meeting mahunya berpuluh kali kot sampai pishang dibuatnya! Hahaha! Bukan senang macam main jual gula-gula kat member ye tak kerana ianya proses yang melibatkan jutaan ringgit.


Sampailah ke penghujung tahun 2019, semuanya seakan dah dapat diputuskan. Apa yang pasti, Khai cuma nak lihat sejauh mana brand ni boleh berkembang lagi di bawah acuan orang lain pula. Selama ni Khai bersaing dengan diri sendiri sahaja mungkin persaingan tu boleh ditamatkan di sini.

Masuk tahun 2020, ini memang tahun yang Khai dah tunggu sejak kecil lagi. Masa tu kan popular dengan Wawasan 2020 kan? Kereta terbang kononnya tapi yang ada cumalah duit kita yang terbang entah ke mana. Hehe! Dah la kereta terbang takde, virus Covid-19 yang berterbangan ada la. Bila musim Covid-19 ni hari tu, memang pending lama urusan jual beli ni untuk beberapa bulan sebab PKP dan sebagainya.

Masuk Jun 2020, urusan baru dapat diteruskan kembali dan insyaAllah Khai akan sambung kisah jual beli ni dalam part 3 nanti secara lebih terperinci.

————–

Terima kasih pada yang sudi membaca. Pada tahap ini, Khai anggap blog ini tak lebih sebagai diari peribadi sahaja dan tak rasa ada orang yang masih masuk blog peribadi dan baca.

Jadi kalau awak yang tengah baca ni masih sudi baca, terima kasih banyak-banyak ya. Tinggalkanlah jejak dengan tinggalkan komen baru Khai tahu. Hehehe.


Ditulis pada 6:51 PM 26 August '20 dan pastinya oleh . Siape lagi? | 2,102 views | Dalam kategori: Daily Craps | Tweet This!

Eat This Google!: , , , ,


RSS feed | Trackback URI

11 Comments »

Comment by TM
2020-08-27 15:17:34

Salam,

Masih follow and track dari first post you dulu till now.

??????

..
 
2020-09-01 10:34:18

Masih membaca sbb masih ada dalam blog list. Hehe.

..
 
Comment by Akuro San
2020-09-04 05:21:32

Yup… Still follow~
Tunggu part 3

..
 
Comment by Azwar Azahar
2020-09-19 21:55:19

Dulu rasanya justkhai.com telah dipadam, tapi tergerak harini nak google ur website back and tak sangka it is back online with new posting.

Saya dah lama follow ur blog and saya doakan bro maju dan dipermudahkan alam setiap urusan.

Tak sabar tunggu part 3 ?

..
 
Comment by Mimin
2020-09-25 15:48:28

Apa pun, Khai banyak memberikan inspirasi kepada pengikutnya untuk terus berblogging dan saya salah seorang daripadanya. Banyak kenangan, malah pernah jumpa dengan Khai sekali je (untuk pinjam disc kat Lim Kok Wing). Hahaha!

Then now, buat laman berita juga dan telah dilamar satu media baharu yang bakal akan menjalinkan kerjasama bersama. Thanks Khai. Segala perkongsian di laman ini sangat memberikan inspirasi.

..
Comment by KhaiHassan
2020-09-26 03:46:25

Terima kasih banyak2 boss! Tapi teringin nak tahu, disc apa yang dipinjamkan kat Limkokwing tu ek? huhuhu..

..
 
 
Comment by Mohd Izham Ismail
2020-09-28 09:26:41

Assalam bro. Semoga Allah s.w.t. sentiasa murahkan rezeki anda sekeluarga, di dunia dan akhirat. Selamat maju dan berjaya, bro!

..
 
Comment by Wan Mohd Asyraf
2020-09-28 20:07:34

Haha…aku follow khai masa mula2 blog ni wujud lagi..

Tahniah khai..semoga berjaya.

..
 
Comment by ynajib
2020-09-29 22:41:27

Really inspiring story

..
 
Comment by Syed Naqiuddin
2020-09-30 11:25:43

Justkhai… follow since umur 15 and now aku dah umur 27 khai.
Anyhow, selamat maju jaya untuk Team Oh! Media. God Bless bro!
P/s: Pernah seketika jadi writer Oh! Geekz. HAHA RINDU BOII

..
 
Name (required)
E-mail (required - never shown publicly)
Your URL
Your Comment (smaller size | larger size)

Trackback responses to this post