Aku, Mereka, dan Oh! Media

Bercerita bagaimana Oh! Media bermula, tak boleh lupa tentang rutin usia remaja aku. Rutin seorang Khai sejak tahun 2011 boleh dikatakan sama sahaja. Pada yang mengenali mungkin tahu, tapi lebih ramai yang tidak tahu cerita bagaimana Oh! Media dibangunkan hanya seorang diri.

Memang ramai ingat Oh! Media ni besar ada berpuluh staff walhal dari menulis artikel hinggalah ke email, Facebook, Twitter, dan Instagram, semuanya perlu diuruskan seorang diri. Sekarang ni bila aku fikirkan semula, semua ni tak boleh jadi tanpa ada pengurusan masa yang sangat ajaib. Hinggakan dulu selalu gaduh dengan awek sebab tiap kali dia ajak dating, aku taknak. Ajak keluar makan pun aku taknak. Dia merajuk ke apa memang takde masa la nak pujuk bagai ni. Haha! Sampai tahap dia pulangkan semua hadiah yang aku pernah bagi kat depan rumah pun, member yang jumpa barang tu bawa masuk rumah.

Masa zaman tu, semangat pada startup ni memang tinggi. Tapi kalau ikutkan, bukan tu je sebab aku taknak keluar tapi mungkin sebab aku rasa diri tak ada apa-apa masa tu dan perlu jadikan passion sebagai profession. Masa tu cuma ada laptop dan motor jer. Motor pun beli 2nd sebab motor yang beli baru masa study kena curi. Musibat sungguh! Masa tu, driving pun tak reti apalagi nak ada lesen kereta. Nak ada kereta sendiri, boleh terus lupakan je. Haha. Kau bayangkanlah, bila gf ajak keluar dating, dia sendiri yang kena datang ambil aku kat rumah. Aku mampu duduk sebelah driver je. Rasa useless betul. Haha.

Ini je la kenderaan yang ada masa tu.. – Gambar: 29 Dec 2010

Ok sambung cerita. Setiap malam bila orang lain sibuk tidur, aku macam orang gila sibuk cari bahan untuk jadualkan berpuluh-puluh posting random di Facebook tanpa pernah miss bermula dari pukul 8 pagi sampai 10 malam (15 post) untuk esoknya. Maknanya, untuk sepanjang hari esok aku tak perlu sibuk cari posting menarik untuk dihidangkan kepada followers Facebook Oh! Media.

Jaga engagement ni sangat penting untuk mula bina jenama online. Itu waktu malam dan esoknya aku teruskan dengan update punyalah banyak website. Masa tu Ohmedia ada banyak pecahan website macam Oh! Artis, Oh! Tidak, Oh! Islam, Oh! Cun, Oh! Geekz, dan segala macam Oh! lagi. Website ohmedia.my masa tu dah ada tapi cuma dijadikan corporate website sahaja hinggalah pada tahun 2013, semua pecahan website tu digabungkan menjadi satu.

Kenapa? Kalau dulu pecahan website ni perlu untuk merealisasikan passion, tapi sebenarnya bila dah jadi profession, ianya cuma memecahkan trafik dan tak nampak cantik di mata client kita.

Inilah “formal” attire setiap hari. Tshirt dan berkain pelikat. Hahaha!

Ketika itu, waktu tidur aku setiap hari cuma dari 7 sampai 11 pagi (ini habit yang kekal sampai ke hari ini). Ini waktu tidur yang sama untuk ramai ikon seperti Tun Dr Mahathir dan juga mendiang Tan Sri Lim Kok Wing (2 ikon yang aku follow rapat ketika itu). Ianya habit yang boleh buat untuk yang kerja gunakan otak tapi tak gunakan tenaga yang mana otak hanya perlu direhatkan memadai untuk 4 jam sahaja.

Lepas bangun dan mandi segala, terus check ratusan email yang masuk sejak awal pagi tadi. Ya, memang banyak gila email samada dari client nak beriklan sampailah ke followers yang berkongsi pelbagai berita sensasi especially untuk Oh! Artis dan Oh! Tidak masa tu. Semuanya perlu dibaca dan dibalas dengan pantas dan efisyen.

Selesai balas semua email satu demi satu, aku terus mula menulis puluhan artikel yang meliputi isu semasa dan trending pada hari tersebut. Mahu atau tidak, perlu sentiasa follow up segala berita yang terjadi pada hari tersebut dan dalam masa yang sama, tetap perlu respon pada balasan emel yang aku hantar pagi tadi. Dalam masa yang sama, kena pastikan semua platform media sosial dikemaskini dengan kerap. Nasib la masa tu Instagram Oh! Media tu macam Instagram Oh! Khai hari ni yang mana aku hanya share tentang lifestyle aku sendiri. Tentang apa yang ingin aku kongsikan sahaja.

Semua komen atau dm yang masuk pula, setiap satu akan aku balas dengan penuh semangat untuk bertahun-tahun. Terkadang dapat soalan yang sama berpuluh kali, tiap kali tu juga aku balas secara manual typing satu demi satu. Sekarang kalau fikir je pun aku dah rasa letih tapi masa tu umur 20-an yang kau tahu hanya pulun dan pulun jer. Mana kenal erti letih semua ni.

Masa awal-awal buat Facebook Pages Oh! Media. Gambar: 17 Jan 2011

Seharian dalam bilik depan laptop dan aku akan stop lepas Isyak untuk aktiviti luar. Masa tu la aku gunakan untuk tengok tv, tengok wayang, lepak mamak, atau keluar pergi karaoke dengan kawan-kawan seusia. Kawan-kawan pun waktu siang diorang kerja so memang malam baru kita keluar. Balik dari lepak dengan member-member tu, member akan tidur la sebab esok kerja tapi aku kembali ke depan laptop hingga mata rasa mengantuk pada jam 7 pagi. Macam tu la rutin bagaimana aku & Ohmedia di awal kewujudannya.

Ingat lagi ada masanya aku join member-member pergi bercuti. Tapi diorang betul-betul berjalan explore tempat tu tapi aku duduk bilik aje sampai diorang tension baik tak payah bercuti woi kalau duduk bilik je. Tapi little did they know, apa yang sedang aku usahakan dan itulah namanya pengorbanan. Pagi raya pun buat kerja dulu sebelum salam mak bapak woi! Hahaha.

Terkadang memang tak ada masa nak pergi kenduri rumah saudara pun disebabkan apa yang aku usahakan memerlukan aku tak ketinggalan walau sekejap pun. Family marah tu perkara biasa tapi aku tak jawab apa sebab diorang pun tak tahu apa kerja yang aku buat masa tu. Apa yang mampu aku buat, hanya pasangkan tekad suatu hari nanti aku akan buktikan apa yang aku usahakan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Mamat pakai Crocs & sweater MANU tu aku. Haha – Gambar: 8 Jan 2011

Disebalik kesukaran aku untuk terus jadi lonely soldier boy kepada Ohmedia, aku tahu yang aku perlu tambah lagi tarikan untuk Ohmedia namun dengan apa yang dah aku uruskan seorang diri ketika itu, dah sampai peak dia. Aku dah tak cukup tangan, dah tak larat bertahun dah tak cuti. Mujurlah Allah hadirkan ramai ramai insan yang datang dalam hidup aku kemudian mereka menyumbang masa, tenaga, dan juga wang ringgit untuk lihat Ohmedia pergi lebih jauh.

Selain akak aku yang paling supportive (Sisi Azie), Rahim Nasoha (Aim Dot Dot) juga adalah insan yang paling dekat dengan aku dalam proses memajukan lagi Ohmedia ni. Kami buat video client sana-sini. Kami cover event tiap-tiap tahun kat Langkawi dan Disneyland Hong Kong sama-sama. Kemudian, Shibli Nuqman (Shibli Vision) pula join jadi sebahagian dari team kami maka selain web & media sosial, semakin aktif lah Ohmedia menerbitkan video terutamanya tentang dunia teknologi, tempat makan menarik, dan pelbagai lagi mengikut apa yang aku rasa orang nak tonton.

Shibli & Aim Tengah shoot Nvidia Shield – Gambar: 20 Ogos 2013

Kebaikan mereka ni aku takkan boleh lupa sebab mereka sentiasa ada bersama aku walaupun masa tu Ohmedia masih tak mampu nak bayar mereka banyak mana. Kalau ada event yang berbayar, barulah aku dapat bahagikan bayaran tu sama rata antara kami. Banyak video bukan client yang kami usahakan masa tu tidak hasilkan income, tapi sikit demi sikit telah menarik lebih ramai pengikut untuk Ohmedia.

Merempit ke Port Dickson- Gambar: 4 Feb 2017

Untuk nama yang jadi tulang-belakang untuk aku teruskan passion ni, nama seperti Zulkifli, Rahman, Syahirul, Halim, Aznor, Zekri, adalah insan terawal yang sentiasa ada dibelakang aku walau dalam apa juga keadaan ketika tu. Kalau aku down awek cari pasal (so kacau mood nak buat kerja), aku cari mereka ni dulu untuk chill. Kalau mood aku nak buat kerja kat luar, mereka yang akan sedia temankan buat kerja sama-sama. Kami semua masih kekal bersahabat sampai ke hari ini.

Lepak Marini’s On 57 pun buat kerja! LOL – Gambar: 24 Okt 2013

Kemudian datang para kenalan online macam Mohd Rasul (Acul) yang membantu aku untuk sama-sama menaikkan followers Oh! Media dengan sangat drastik melalui penghasilan aplikasinya ketika itu. Ada banyak lagi nama kalau aku nak senaraikan kerana sikit-sebanyak telah menyumbang untuk Oh! Media. Anda tahulah siapa anda. Semua kebaikan insan-insan ini tak pernah aku lupakan kerana adalah mustahil untuk Ohmedia kekal relevan sampai ke hari ini kalau mengharapkan aku seorang sahaja.

Aku beruntung ada kawan-kawan yang sentiasa supportive. Gambar: 10 Ogos 2016

Sebagaimana aku bermula dari kecil seorang diri hanya di meja Mamak + Ais kosong, macam tu jugalah Oh! Media mula berkembang dari hanya syarikat berstatus Enterprise ke Sdn Bhd pada tahun 2015. Bermula dari client cuma dari kenalan, sampailah ke jenama besar yang aku tak pernah sangka. Jenama yang aku dah kenal sejak dari kecil.

Perkara paling aku bangga dengan business model Oh! Media ni, kami tak mahu dan tak akan pernah cari client. Kita nak client yang datang sendiri. Bila kita cari client, kita perlu impress’kan client tapi kalau client yang cari kita, sebab dia memang dah kenal kita. Sebab tu la aku memang langsung tak pandai nak impress’kan orang ni. Dia macam kau yang cari aku, so kau ikut cara aku. Ini adalah skill kesombongan yang aku belajar dari Apple dan Steve Jobs sebenarnya. Haha!

Camping atas bumbung rumah.

Pendapatan syarikat masa bermula cuma dari ribuan seminggu, meningkat naik ke puluhan ribu seminggu, petanda semakin banyak jenama besar mula nampak Ohmedia sebahagian dari medium pengiklanan yang pesat membangun. Selari dengan kemajuan Ohmedia, macam tu jugalah hidup seorang budak kampung mula berubah. Dia macam, tibe…

Kereta zaman bujang. Banyak berjasa bawa event sana-sini – Gambar: 8 Feb 2012

Dari sebuah motosikal kecil, dah ke motosikal besar. Dari rumah sewa, dapat beli rumah sendiri secara tunai. Dari tak pandai bawa kereta, tahu-tahu dah lebih 5 biji kereta aku beli. Dari seorang yang suka lari bayar tax, yang benci nak mampus dengan LHDN ni, kini kalau boleh LHDN tu yang aku nak kejar untuk sama-sama menyumbang membangunkan negara (pakcik dah sedar diri).

Miss Merlot. Bapak pemes dia ni kalau dekat Oh! Media tu haha! – Gambar 18 Mac 2017
Mula2 beli King ni nak pakai urusan dekat-dekat. Tapi bila dah dapat kereta, aku hadiahkan pada Pak Hassan. – Gambar 12 Jun 2020
X70 (Oggy) ni ikutkan kereta ke-4. Abang Gan Pandulaju la racun aku ni. Haha. Gambar: 11 Ogos 2020

Tapi itu cerita dalam versi yang best dia je. Kena tahu bahawa bila lagi tinggi income yang kita nak capai tu, sebenarnya lagi barai kerja yang kena dibuat. Lagi jenama kita dikenali, lagi ramai haters yang kita perlu hadap. Lagi kau rasa nak hidup senang, lagi besar ujian Allah bagi. Nak kena hadap semua tu sorang-sorang memang biasa aku terbarai sorang-sorang tak siapa tahu. Haha. Tapi tak payah cerita lanjut pasal semua tu nanti jadi panjang sangat coretan ni.

Ini Max Caulfield di Litar Sepang – Gambar: 9 Jun 2022

Tahun 2018, usia aku genap masuk 30 tahun kira dah kurang lebih 10 tahun la aku cipta Oh! Media ni. Masa tu aku dah fikir kena expand lagi kalau nak lepaskan jenama yang dah jadi sebahagian dari hidup aku ni. Pada tahun tu juga, aku buka office baru yang kemudiannya mengambil beberapa orang staff. Ada yang masuk sebagai pelajar intern yang kemudian diambil terus jadi pekerja, ada yang fresh graduate, ada yang belajar langsung tak kena mengena dengan jobscope, dan ada yang belajar sampai SPM sahaja. Adakah aku peduli sampai mana sijil mereka ni? Oh, tentulah tidak sedangkan sijil aku sendiri dari dulu sentiasa kat bawah katil. Hahaha! Satu perkara je aku pandang masa tu — attitude mereka dan mampukah mereka berikan sepenuh hati pada jenama ini. Semua aku layan macam adik sendiri dan hingga saat ini, mereka masih lagi ada bersama Ohmedia.

Dari 2018 hingga 2019, memperlihatkan banyak pihak mula menghubungi aku untuk membeli Oh! Media secara keseluruhannya. Masa tu tak ada sesiapa tahu pun yang golongan sultan pun ada yang merisik untuk memiliki Oh! Media ni. Tak tahulah dia plan untuk apa. Tapi semuanya aku ketepikan terlebih dahulu untuk cuba cantikkan lagi Ohmedia sebagai satu organisasi yang teratur.

“Partner” yang dimaksudkan tu adalah keluarga diraja tau. Haha.

Tahun 2019 di usia 31 tahun, aku rasa dah dapat semuanya yang aku cari. About time untuk lepaskan kepada pihak yang betul. Selain tu bila dah ada staff, aku rasa kehilangan passion sedikit demi sedikit disebabkan memang passion aku kerja seorang diri je lebih mudah.

Akhirnya, aku respon satu emel yang masuk di mana sebelum ni pada tahun 2017, perbualan antara kami dah berlangsung tapi aku tak teruskan.

Semuanya bermula dari emel ini – Gambar: 8 May 2019

Meeting demi meeting pun berlangsung antara kami di pelbagai lokasi. Aku beruntung sebab kenal Abang Aris yang banyak membantu melancarkan urusan jual-beli ini dari segi documentation dan akhirnya selepas berkali-kali perbincangan antara lawyer kedua-belah pihak, lebih separuh pegangan aku dalam Oh! Media dilepaskan untuk kepada entiti yang lebih besar, lebih hebat, dan berpengalaman pada harga yang sepatutnya telah membolehkan aku bersara pada usia muda.

Keluarga besar Oh! Media pada tahun 2020.

Hingga saat ini, aku masih terus berada dibelakang Oh Media Sdn Bhd yang dah lama jadi soulmate seorang Khai Hassan cuma rentak aku lebih perlahan bagi memberi laluan kepada idea-idea baru orang lain di dalam organisasi yang lebih besar. Aku cuma jadi mata dan telinga (terkadang je bersuara) untuk lihat ke mana idea mereka membawa halatuju yang lebih baik kepada Ohmedia kedepannya.

Impak Ohmedia ni cukup besar pada lifestyle aku sendiri termasuklah waktu tidur aku yang dah tak boleh nak adjust lagi sampai sekarang. Tetap waktu tidur masih (7-11/Seven-Eleven) tapi aku cuba perlahan-lahan untuk cuba jadi manusia normal sekali lagi. Haha! Masa yang ada sekarang ni, memang banyak aku habiskan dengan pelbagai hobi baru serta mempelajari ilmu bisnes yang baru terutamanya tentang properties. Sampai masa yang sesuai, aku akan tinggalkan dunia internet terutamanya media sosial sepenuhnya. Aku dah tak lalu tengok media sosial tu sebenarnya. Berbelas tahun bergelumang dengan benda yang sama hari-hari. Hahaha.

Sekarang ada banyak sikit masa untuk bercuti yang benar-benar bercuti, dapat berjalan ke mana je tinggal aku nak atau tak je, dan syukurlah aku dapat membahagiakan insan tersayang sepanjang waktu kat sisi mereka. Tapi tentulah insan tersayang tu bukan lagi dengan awek yang tak faham dengan kerja aku kat atas tadi tu. Huhu.

Team Oh! Media & iMedia pada tahun 2022

Kesukaran, kesungguhan, dan keinginan yang ada dalam diri kita, pastinya akan membuahkan hasilnya jika kita sentiasa percaya pada kemampuan diri sendiri, dan mengabaikan segala tanggapan orang lain. Aku ukirkan kisah ini dari pengalaman yang dibuktikan, bukan sekadar sembang kosong ala “pakar motivasi” yang menjual air liur di kelas berbayar. Jadi begitulah sedikit sebanyak kisah aku, mereka, dan Oh! Media untuk aku coretkan di Justkhai ini untuk memori dan ingatan diri sendiri di masa hadapan.

Jika awak dah baca sampai ke sini, terima kasih diucapkan sebab awak yang tengah baca ni sah-sahlah orang yang sentiasa menyokong Ohmedia selama ini. Semoga ada manfaat yang boleh diambil dari kisah seorang Khai Hassan yang dulunya muda, sekarang makin berusia.

Alamak! Haha.

Ditulis pada 5:18 PM 24 June '22 dan pastinya oleh . Siape lagi? | 417 views | Dalam kategori: Hidup Khai | Tweet This!

Eat This Google!: , ,


RSS feed | Trackback URI

3 Comments »

Comment by Kaio
2022-06-25 16:05:36

Mantap Khai! Memang awesome! Aku kenal kau dari acul. Thank you jugak sudi spend time lepak dengan aku.

..
 
Comment by Syah
2022-06-25 16:52:43

Usai baca, memori kembali hadir seperti sembang² semalam melihat foto² lama kita semua. Semoga dapat kecapi apa yg ko impikan lagi pada masa hadapan.

Tahniah dah bersara di usia muda. Tak semua bertuah sama. Tapi hasil takkan mengkhianati usaha jerih payah pengorbanan selama ni dengan izin-Nya. Kena syukur selalu.

Aku tumpang gembira tengok kejayaan. Masuk 40-an nanti kita tengok memori life yang telah kita lalui. Lama betul tak baca blog ni?, tak sangka ada update.

..
 
Comment by Andy
2022-07-26 11:22:54

Sya silent reader Blog Justkhai dari awal kemunculan..Tahniah dah sampai ke tahap sekarang Khai.. Wlaupun tak pernah jumpa Khai, tp entah mcmna blh rsa mcm Khai ni kawan sy..Mungkin byk membaca penulisan Khai kot..haha

..
 
Name (required)
E-mail (required - never shown publicly)
Your URL
Your Comment (smaller size | larger size)

Trackback responses to this post