Floria & Rumpun 07
Oh, aku terlalu cemburu dengan apa yang berlangsung petang semalam. Ianya Rumpun 07. Alhamdulillah, akhirnya berlangsung dengan jayanya melalui beberapa bloger yang sempat aku berbual. Mendengar cerita dari blog rasmi Hafreze membuatkan aku bertambah cemburu. Ditambah pula dengan kedatangan amat mesra alam oleh big bos Advertlets, Mr Josh Lim yang turut bersama-sama memeriahkan majlis. Betul ke Hafreze ada yang bertanya tentang aku? Hurm, sebenarnya terdetik juga rasa kekecewaan dalam hati aku kerana aku adalah bloger yang betul-betul ingin ke Rumpun 07. Tapi pelbagai halangan yang datang di saat-saat akhir. Halangan utama, aku perlu ke Karnival Bunga dan Taman di Putrajaya atau singkatannya, Floria bagi mewakili pelajar Limkokwing University yang hadir ke sana memeriahkan penyertaan kami.
Ya, ada hikmahnya. Aku tidak dapat menatap wajah-wajah member blog lain yang selalu aku ketemu di alam maya ini tetapi aku dapat menatap wajah seorang insan yang aku kagumi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi. Pak Lah merasmikan Karnival Bunga dan Taman pagi semalam dengan suasana sangat meriah. Percaya atau tidak, ini peluang buat pertama kalinya aku bertemu dengan Pak Lah secara berdepan dan pastinya tidak mungkin aku akan lepaskan peluang seperti ini dan yang perlu menjadi mangsanya, kedatangan ke Rumpun 07 terpaksa aku minggir’kan. Menjadi wakil pelajar Limkokwing ke sana juga membuatkan aku berasa sungguh bertuah.
Melihat hasil dari badan-badan kerajaan dan pelajar-pelajar IPTA merealisasikan taman dalam bandar juga amat meng’ujakan aku. Melihat hasil dari pelajar kampus aku sendiri membuatkan aku berasa bangga. Dancing Garden, sebuah ilham yang lain dari yang lain. Kau perlu ke Putrajaya untuk saksikan’nya sendiri kerana ianya berlangsung dari 25 Ogos hingga 2 September ini. Jika kau seorang pencinta alam atau peminat rekacipta landskap, kau wajib pergi!
Berbalik kepada Rumpun, aku memohon maaf kepada Mohd Ismail kerana tidak dapat menghadirkan diri walaupun setelah dipujuk oleh beliau. Aku bukan sengaja tidak mahu ke sana, tapi keadaan tidak mengizinkan. Tarikh bertindih pula dengan Floria Putrajaya dan aku terpaksa memilih antara satu. Mungkin pada Rumpun 08 atau Rumpun 2 nanti, aku akan jadi orang pertama yang tunggu di tempat perjumpaan untuk menyambut kalian yang hadir. Apa pun, aku dah puas menatap wajah jambu Mohd Ismail. Hehehe.. Identiti-mu kini bukan satu rahsia lagi. Boleh la kau letak board iklan di tepi-tepi highway sambil berposing mempromo blog kau wahai Ismail. Siapa ada button lebih Advertlets tu, berilah aku satu. Aku sukakan button itu untuk dijadikan koleksi. (more…)

















