Impian Silam Muda Remaja
Hari-hari bangun tidur, sentiasa fikir apa bisnes baru yang aku nak buat dan kena buat. Kalau kau nak start lari dari media sosial ni sepenuhnya, kau kena wujudkan bisnes yang bukan dalam bidang yang sama lagi. Kebanyakan idea baru yang datang, mesti kena bisnes yang tak memeningkan kepala la contohnya dobi layan diri ke, auto carwash ke, buka ZUS Coffee ke, sampai la ke campsite sendiri pun. Rujukan banyak ambil dari Justkhai ni semula dari apa yang aku dah tulis since 2006 dulu. Iya lah masa tu baru nak kenal dunia mesti ada banyak impian masa depan yang ditulis. Sekarang la masanya kalau nak sempurnakan segala impian zaman dulu tu.
Bila baca balik artikel tahun 2007 yang aku tulis masa birthday ni, salah satu rangkap aku tulis atas ni. Umur 19 tahun masa tu. Bila baca balik, ah farkk! Banyak betul benda yang dulu aku benci, tapi tanpa sedar aku dah buat. Banyak betul dosa silam demi nak kenal dunia kononnya. Ala kassimm…. hampeh betul la.
Bawah ni pula apa yang aku tulis pada tahun 2010. Umur baru masuk 22 tahun masa tu. Penulisan memang cringe gila babi la kalau sekarang aku baca balik, tapi nak buat camne seorang Khai yang masih remaja memang jadi seorang Khai la masa tu. Dia tak boleh nak jadi orang lain der. Hahaha.
Aku cari balik apebenda impian terancang yang ditulis tu. Rupanya berkaitan kerjaya yang aku perlu bangunkan atas kaki sendiri. Wujudkan impian yang kau lah boss, kau lah kuli. Tak perlu bersaing dengan sesiapa pun sebab kau hanya perlu bersaing dengan diri sendiri tengok sejauh mana boleh pergi. Tiap hari diri kita kena jadi lagi better dari hari sebelumnya. Masa tu la wujudnya website ohmedia.my tu dan aku baru pergi daftar nama Oh! Media tu kat SSM. IPO semua tu belum ada lagi. Masa tu apebenda pun aku tak tahu lagi pasal syarikat dan jenama ni. Apa yang aku tahu masa tu, nak buat bisnes mesti kena daftar kat SSM. Baru boleh buat akaun bank kompeni. Explore sendiri je masa tu.
Hari ni apa yang dah jadi pada Oh! Media, kalau korang ambil tahu atau baca posting setahun-dua ni, korang tahu la kot apa yang dah jadi. Ohmedia hari ni dah boleh bergerak sendiri dengan staff yang ada tanpa perlu aku bersengkang-mata lagi macam dulu. Jenama yang aku bawa kehulur-kehilir naik motor Yamaha 125z pergi SSM sebab nak daftar tu, hari ni lebih kurang 14 tahun kemudian dah boleh buat sales sampai 8 angka setahun. MasyaAllah, aku sendiri pun tak boleh brain.
Income tu memang penting, tapi untuk aku segala memori dan pengalaman yang aku dapat dan belajar tu jauh lagi penting. Bila buat carian lagi, baru aku terjumpa ada satu page kat Justkhai ni nama Wishlist. Kalau korang tekan link tu, ada beberapa point “belum terlaksana” yang aku berharap sangat masa tu kat penghujung page. Ada darinya yang dah lama tercapai, ada yang masih belum, dan ada juga yang dah jadi tersangat mustahil sampai bebila pun.
Mustahil tu macam nak hantar mak ayah pergi haji. Sekarang boleh hantar mak je yang pergi haji sebab Pak Hassan dah tak ada lagi di dunia ni. Mampu buat upah haji sahaja tahun lepas. Al-fatihah Abah tersayang. Moga tenang abah kat sana. Suatu masa kita akan bersua. Untuk hantar mak pergi haji, dah cuba buat rayuan dengan tabung haji, kita cuba lagi sampai dapat, insyaAllah.
Rasa beruntung betul ada blog macam Justkhai ni, dapat “cari” balik diri kita yang dulu dan buat apa yang kita perlu buat dan rasa on track. Kalau ada antara korang yang terbaca ni masih muda baru nak masuk umur 20 ke, ingat la ye betapa pentingnya perancangan dalam hidup ni. Apa yang kau rasa mustahil sekarang pun, percayalah kalau kau dah plan dengan target, mesti boleh tercapai sebab usaha kita buat pun akan bergerak selari dengan perancangan.
Kalau masih ada yang rajin baca blog di tahun 2024 ni, terima kasih sebab masih terus ada kat sini. Aku dah tak pernah share lagi kat mana-mana pasal Justkhai ni, so kalau korang tak sengaja termasuk ke blog ni atau setahun sekali masuk baca tu samada pernah jadi bini ke, pernah jadi kawan ke, pernah jadi crush yang dulu selalu mimpi pasal aku ke (you know who you are), terima kasih banyak-banyak lah ye! Hehe.
Ok lah, InsyaAllah panjang umur kita sambung lagi. Peace!
As salam Khai. Bagi aku, kau adalah pelopor dunia blogging yang mencetus kejayaan. Aku sampai sekarang terngiang-ngiang Oh Hell No tapi versi dari kita untuk kita, OhTidak. Punya lah rindu. Zaman tu, 2006-2008, kita ada duta blogger macam Hanis Zalikha. Tapi, bila kita berubah zaman, kau berjaya pulak jadi trendsetter penulisan dan perkongsian melalui OhMedia. Sampai semua orang lain pun mula copy paste cara-cara untuk berjaya dari kau. Aku ingat-ingat lupa tapi rasa yang paling kuat nak potong populariti OhMedia masa tu Si Rashid kot. Kalau tak silap lah hahahha. Aku doakan the best untuk kau dan empayar yang telah kau bina selama ini, semoga sentiasa maju 2024 2025 2026 and so on. – recordnice